Penubuhan sebuah universiti di negeri Kelantan telah dijadikan satu komponen dalam Rancangan Malaysia Ke-9 bagi menyokong pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor pendidikan tinggi negara. YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti di Kelantan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK ke 9) pada 31 Mac 2006.

Penubuhan universiti ini telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 14 Jun 2006. Jemaah Menteri juga telah menetapkan supaya falsafah kurikulum pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan (entrepreneurship education and enterprises) dalam semua program pengajian. Oleh itu,frasa rangsangan seperti "Entrepreneurship is Our Thrust" (Keusahawanan Teras Kami) dan "Entrepreneurial University" (Universiti Keusahawanan) digunakan secara meluas. Pengkhususan pengajian untuk pembangunan jangka masa pendek dan sederhana dikelompokkan kepada tiga bidang pengajian iaitu:

1. Keusahawanan dan Perniagaan;
2. Teknologi Kreatif dan Warisan;
3. Agro-industri dan Sains Sumber Asli

Pada masa yang sama, penekanan diberikan kepada kemahiran berbahasa dan kemahiran insaniah. Semua program pengajian bertujuan untuk melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi dengan minda kelas pertama yang lengkap dengan ciri-ciri usahawan. Modal insan yang dihasilkan diharap dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan global dan memberi perhatian kepada peningkatan keupayaan dan kemampuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (capability and capacity building of SME) serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat perdagangan berkeusahawanan tinggi. Selaras dengan pelaksanaan semua bidang pengajian, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) digunakan sebagai pengupaya (ICT as an enabler).